Bismillahi walhamdulillah.
Setinggi puja dan puji ke hadrat Ilahi, selawat dan salam buat Rasulil Amin, ahlil bait, para sahabat baginda, awwalin dan mujtahidin, mujahidin dan 'amilin, seterusnya teman-teman dan rakan-rakan se'aqeedah yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian.
Awal pagi semalam, masuk ke kantung sms diri ini memaklumkan musibah yang telah berlaku kepada salah seorang junior (SG7). Musibah tersebut telah meragut nyawa bapa kesayangannya serta menyebabkan beliau patah kaki disamping beberapa kecederaan lain. Kesnya, mereka dilanggar oleh Mat Rempit yang juga dari warga tempatan terdekat apabila dalam perjalanan pulang dari stesen bas menuju pulang ke rumah mereka. Bapanya dan Mat Rempit tersebut meninggal dunia manakala dia mengalami konkusi dan sedar setelah dibawa ke hospital.
Petang semalam, diri ini bersama 2 orang sahabat dan seorang senior telah ke Hospital Melaka untuk menziarahi beliau. Sepanjang perjalanan tersebut, tak dapat diri ini membayangkan betapa laju dan dahsyatnya perlanggaran tersebut sehingga membawa kepada kematian. Memanglah Allah s.w.t. yang menentukan ajal kita, cuma ia ditemukan (nyawa dan ajal) itu yang agak menyayat hati kerana pemergian yang mengejut dan tiba-tiba.
Sampai di hospital, kami ke tingkat 3, blok D. Di sana, kami diminta melawat beliau seorang demi seorang. Seorang sahabat masuk ke wad. Tak lama lepas tu diri ini masuk selepas dia keluar. Melihatkan keadaannya, diri ini terasa sebak dan amat sedih. Beliau dalam keadaan lemah masih berupaya mengukir senyuman walaupun air mata bergenang dalam linangan ketika menerima lawatan diri ini. Dia cukup sedih dan merasa bersalah atas pemergian bapanya kerana dia sendiri melihat bapanya meninggal di hadapannya. Ketika itu, dia cuba bangun untuk menyelamatkan bapanya tetapi dia jatuh semula kerana kakinya telah patah. Sayu mendengarkan cerita dari mulutnya sambil air mata menitis.
Tanpa membiarkan dia meneruskan ceritanya lebih lanjut supaya dia terus berehat dan tidak terus dirundung rasa sedih yang berpanjangan, diri ini terus menyampaikan sedikit bantuan yang sempat dikutip sebelum berziarah. Setelah memberikan sedikit kata-kata semangat dan berusaha untuk membantu beliau selepas ini, diri ini berlalu dalam keadaan perasaan yang amat sedih. Tambahan pula, kakaknya akan melangsungkan perkahwinan pada hari Sabtu ini. Pemergian arwah dalam keadaan mengejut itu pastinya meragut suasana gembira yang bakal dikecapi seluruh keluarga beliau.
Dalam perjalanan pulang, ketika sedang memandu, senior yang pergi bersama kami menceritakan beberapa peristiwa membabitkan orang-orang terdahulu yang berjuang sehingga terkorban. Ada yang pergi dengan senyuman redha dari ibunya, ada yang pergi dengan tangisan kasih sahabat-sahabatnya dan macam-macam lagi. Ditambah pula dengan lagu ala sedih yang berkumandang memenuhi ruang dalam kereta, menambahkan lagi kepiluan dan kesayuan yang terbuku di hati ini.
Insya Allah, selepas ini diri ini akan cuba sedaya upaya untuk membantu beliau. Justeru, dengan nama Allah dan Rasul, diri ini mohon daripada sahabat-sahabat sekalian agar kita sama-sama memberikan bantuan kepada beliau. Untuk pengetahuan semua, beliau menerima musibah setelah pulang daripada membantu kita di bazar dan Allah telah mengambil bapanya dari musibah tersebut. Tidakkah kita terasa sesuatu? Jadi, jangan kita bekukan minda dan kejangkan otot, ayuh sama-sama kita menghulurkan bantuan. Kalau bukan kita, siapa lagi? Mungkin pihak kristian pula akan muncul memberikan bantuan kalau kita terlambat dan pastinya ketika itu kita akan menyesal. Nauzubillahi min zalik.
Akhiran, jangan kita terlalu mementingkan diri. Bahkan, jangan kita terlalu berkira dalam perjuangan ini. Walaupun kapasiti kita terhad, namun apa yang boleh kita lakukan ialah memaksimakannya. Ingatlah, kita belum tahu bagaimana kita akan mati. Tapi kita tahu bagaimana untuk mati dalam keadaan yang baik. Justeru, mengapa tidak kita pertingkatkan usaha ke arahnya? Ta'alau nazkuru .........
-- "Harga yang paling mahal ialah terkorban dalam perjuangan"
- Mohd. Faizal Zainuddin
Wallahu ta'ala a'lam ....